Tuesday, April 20, 2010

Karangan Darjah 4 - (5) Sikap Kurang Sopan 11.03.10 (Karangan Terbaik 1)


_____Pada hari Sabtu yang lalu, Hanis dan keluarganya telah pergi ke sebuah pusat membeli-belah kerana ibunya, Puan Sophia, hendak membelikan beberapa buah buku untuk Hanis dan adiknya, Ali. Setelah berjam-jam mencari buku-buku yang sesuai, Puan Sophia akhirnya berpuas hati dengan pilihan-pilihannya. Selepas membayar harga buku-buku itu, perut mereka berkeroncong. Jam tangan Hanis menunjukkan tepat pukul 1.30 petang. Maka, mereka sudah terasa lapar. Encik Imran, ayah Hanis, mencadangkan agar mereka pergi ke sebuah restoran makanan segera, McDonald’s, yang terletak tidak jauh dari situ.

_____Pada hari itu, terdapat ramai orang yang berada di restoran itu. Mujurlah Hanis ternampak sebuah meja yang kosong. Tanpa berlengah lagi, mereka pergi ke meja itu. Setelah memesan makanan-makanan yang didinginkan, Encik Imran membawa makanan-makanan itu ke mejanya. Semasa mereka sedang menjamu selera, mereka ternampak seorang lelaki tua yang berkaca mata berjalan ke sebuah tempat duduk yang kosong.

_____Tiba-tiba, dua orang pemuda muncul lalu berlari ke arah meja itu. Sebelum orang tua itu melabuhkan punggungnya di tempat duduk itu, dua pemuda tadi telah pun mendudukinya. Orang tua itu berasa kecewa terhadap kelakuan mereka. Apabila Encik Imran melihat kejadian itu, dia bergegas ke arah dua pemuda tadi lalu memberitahu mereka bahawa mereka sepatutnya memberikan tempat duduk itu kepada orang tua itu. Mereka hanya menundukkan kepala kerana mereka malu terhadap tingkah laku mereka. Setelah menyedari kesilapan, mereka meminta maaf daripada orang tua itu lalu memberikan tempat duduk mereka kepadanya. Namun, orang tua itu menolak pelawaan mereka. Lantas, Encik Imran menjemput lelaki tua itu yang bernama Pak Leman, duduk di meja keluarganya kerana mereka hampir selesai makan. Pak Leman tersenyum lalu mengangguk tanda setuju.

_____Sebelum Pak Leman bergerak ke meja Encik Imran, kedua-dua pemuda tadi meminta maaf sekali lagi. Encik Imran memperkenalkan Pak leman kepada keluarganya. Setelah selesai makan, Encik Imran dan keluarganya menghantar Pak Leman pulang ke rumahnya yang berdekatan dengan rumah mereka. Mereka juga mendapat tahu bahawa Pak Leman hidup sebatang kara. Sejak hari itu, Encik Imran selalu membawa buah tangan setiap kali dia mengunjungi rumah Pak Leman.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Nurul'ain Bte Nazrin
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-1

Markah:
Isi - 9
Bahasa - 7

Ulasan guru:
Susunan isi cerita amat menarik. Awasi tanda baca.

No comments:

Post a Comment