Thursday, July 23, 2009

Karangan Darjah 5 - Kecederaan Akibat Kemalangan (Contoh)


__Erlynna memicit butang lampu trafik pejalan kaki agar dia dapat melintas jalan raya dengan selamat. Cuaca agak mendung pada hari itu. Ibu Erlynna sering menasihatinya agar berhati-hati di jalan raya bak pepatah, malang tidak berbau. Dia menunggu lampu isyarat pejalan kaki menjadi hijau dengan sabar.

__Tiba-tiba, sebuah bas merempuh sebatang pokok berdekatan lampu trafik di kawasan Erlynna berdiri. Kejadian itu berlaku dengan sekelip mata sehingga Erlynna tidak pasti punca kemalangan itu. Bahagian depan bas itu remuk sehingga kaca-kaca tingkap bahagian depan bas itu bertaburan di jalan raya. Ramai pejalan kaki yang menyaksikan kejadian ngeri itu.

__Ramai pemuda yang ada di kawasan lampu trafik itu bergegas ke pintu hadapan bas untuk memeriksa keadaan para penumpang di dalam bas itu. Beberapa penumpang yang mengerang kesakitan dan tangisan kanak-kanak juga kedengaran. Pemuda-pemuda itu menghentak-hentak pintu bas agar dapat dibuka. Kemudian, mereka memapah mangsa-mangsa keluar daripada bas itu.

__Seorang wanita berlari ke arah kolong sebuah blok untuk menghubungi pasukan polis dan ambulans. Dia juga melaporkan kejadian ngeri itu kepada pihak polis sambil memberikan butiran tempat kemalangan. Dia bertutur dalam keadaan tenang tetapi raut wajahnya menunjukkan bahawa dia risau terhadap keselamatan para penumpang bas itu.

__Pasukan polis dan ambulans pun tiba di tempat kejadian dalam masa sepuluh minit. Pihak polis mengepung kawasan kemalangan supaya pegawai-pegawai paramedik dapat menjalankan tugas dengan tangkas. Ada beberapa pegawai polis trafik mengawal lalulintas jalan raya agar laluan di situ tidak sesak. Dua orang pegawai paramedik berjaya mengeluarkan pemandu bas itu yang cedera parah.

__Suasana menjadi hingar-bingar kerana semboyan lori bomba dan ambulans memecah keheningan pagi. Kesemua penumpang dapat diselamatkan. Mangsa-mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital dengan segera oleh pegawai-pegawai paramedik. Penumpang-penumpang yang cedera ringan dirawat di perhentian bas tidak jauh daripada kawasan kemalangan itu. Erlynna masih tercegat di lampu trafik. Kini, Erlynna memahami nasihat ibunya bahawa kemalangan akan berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa.

3 comments: