Thursday, August 12, 2010

Karangan Darjah 4 - (9) Membantu Ibu Bapa 08.07.10 (Karangan Terbaik)

_____”Superman, saya ialah wira yang boleh terbang!” kata pelakon dalam siri rancangan Superman.

_____Syazwan sedang berada di ruang tamu dalam rumahnya. Dia sedang menonton televisyen. Selepas Syazwan terdengar kata-kata itu, dia ingin meniru gaya seperti pelakon dalam siri rancangan Superman itu. Dia pun mengambil tuala lalu mengikat di lehernya.

_____Selepas Syazwan mengikat tuala di lehernya, dia memanjat kerusi yang ada di situ. Dia pun mahu terbang seperti watak Superman lalu terjun dari kerusi seperti mahu terbang.

_____Tiba-tiba, dia jatuh tersembam di lantai. Kepalanya terhantuk kerusi itu lalu dia meraung kesakitan. Setelah ibu Syazwan terdengar suaranya, dengan pantas dia pun datang menolong Syazwan.

_____Dengan cemas, ibu Syazwan bertanya Syazwan apa yang sudah berlaku. Syazwan kata dia ingin terbang seperti Superman tetapi tidak berjaya. Ibu Syazwan menasihati Syazwan supaya mendengar kata ibunya tetapi Syazwan seorang budak yang keras hati. Sebab itu, Syazwan terjatuh dan cedera. Ibunya terpaksa membawanya ke klinik untuk berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan. Syazwan berasa sangat kesal kerana dia tidak boleh mendengar nasihat ibunya. Syazwan tidak oleh terbang seperti yang dia sangkakan.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Afiqah Filzah Binte Herman Yani
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-5

Markah:
Isi - 9
Bahasa - 9

Ulasan guru:
Isi yang padat serta penggunaan bahasa yang baik!

Karangan Darjah 4 - (8) Membantu Ibu Bapa 08.07.10 (Karangan Terbaik)

_____“Apa boleh saya lakukan?” tanya Tara dengan berbisik kepada dirinya.

_____Tara berasa bosan kerana dia tinggal bersendirian di rumahnya. Ibu dan bapanya telah pergi ke pejabat untuk bekerja. Dia sedang berfikir untuk melakukan sesuatu. Dia ternampak bahawa kamar tidur ibu bapanya berselerak.

_____Tanpa membuang waktu, Tara mula mengemas kamar ibu bapanya. Dia mula dengan menarik dan membetulkan selimut. Katil ibu bapanya amat besar dan lebar. Selepas itu, tara menyapu lantai agar habuk-habuk dapat dikumpulkan lalu dibuang.

(sambung)

_____Tara berasa penat lalu berjalan ke arah dapur untuk mengambil segelas air. Lima minit kemudian, dia mengambil sebuah baldi penuh dengan air dan gayung. Dia berjalan ke luar rumahnya lalu menyiram pokok-pokok bunga yang amat cantik. Selepas itu, dia berehat di rumahnya sambil menonton televisyen.

_____Apabila Tara sedang menonton televisyen, dia terdengar loceng pintu berbunyi. Seperti lipas kudung, dia membuka daun pintu. Dia ternampak ibu dan bapanya. Ibunya berasa besar hati apabila melihat rumahnya yang bersih itu. Dia memeluk anaknya yang ringan tulang itu lalu memberi anaknya lima dolar sebagai hadiah.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Insyira Binte Rosly
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-3

Markah:
Isi - x
Bahasa - x

Ulasan guru:
Isi bagus.


Monday, May 24, 2010

Karangan Darjah 5 - (4) Peristiwa Sakit Di Rumah 26.03.10 (Karangan Terbaik)

_____Cuaca pada hari Selasa lalu amat panas terik. Erika dan Erik baru pulang dari sekolah. Mereka membuka pintu rumah lalu ternampak ibu mereka sedang memicit pelipis kepalanya. Ibunya jatuh sakit kerana sering membuat kerja rumah tanpa berehat. Erika memapah ibunya masuk ke dalam biliknya.

_____Erika mengambil sebotol ubat sakit kepala untuk ibunya. Erika menyentuh dahi ibunya. Dahi ibunya terasa panas. Erika dan Erik berasa sedih kerana ibu mereka jatuh sakit. Erika dan Erik berjalan keluar dari bilik tidur ibunya agar dia boleh berehat.

_____Dia ruang tamu, Erika menghidangkan makanan untuk dia dan adiknya makan. Erika memang putih hati kepada Erik. Erika juga menghidangkan air suam untuk mereka minum sewaktu makan.

_____Selepas makan, Erika mencuci pinggan-pinggan menggunakan cecair sabun dan sepan. Dia mencuci sehinggan bersih agar sisa-sisa makanan hilang daripada pinggan-pinggan itu.

_____Erika dan Erik menyalin pakaian mereka selepas itu. Kemudian, mereka pergi ke ruang tamu untuk mengulang kaji pelajaran kerana peperiksaan bermula pada hari Rabu. Mereka mengulang kaji buku-buku teks semua mata pelajaran.

_____Erika dan Erik masih mengulang kaji pelajaran, tiba-tiba, ibu mereka memanggil mereka. Mereka berlari ke bilik tidur ibu mereka. Mereka terlihat ibu mereka termuntah. Muka ibu mereka pucat macam mayat. Mereka terkejut melihat keadaan ibu mereka lalu mereka memapahnya pergi ke klinik berdekatan selepas membersihkan muntahan ibu mereka.

_____Selepas dirawat, doktor memberitahu mereka bahawa ibu mereka hamil. Mata Erika dan Erik terbeliak. Rupa-rupanya, ibu mereka akan melahirkan cahaya mata dalam masa beberapa bulan. Mereka akan menyambut kedatangan adik yang baru. Erika berasa bangga dan gembira. Setelah membayar kos perubatan, mereka pulang sambil mengukir sekuntum senyuman.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Lina Maisarah Binte Mohd Fu'ad
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 5-7

Markah:
Isi - 13
Bahasa - 13

Ulasan guru:
Isi cerita pada bahagian awal boleh dikembangkan agar cerita menjadi lebih menarik.

Sunday, May 16, 2010

Karangan Darjah 5 - (2) Peristiwa Di Taman Haiwan (Karangan Terbaik)

_____Pada hari Sabtu yang lalu, Krisnan berasa sangat seronok. Ibu Krisnan, Puan Minachi, akan membawa Krisnan dan adiknya, Kashi, melawat taman haiwan. Mereka akan pergi ke Taman Haiwan Singapura. Krisnan mahu meihat haiwan kegemarannya iaitu monyet dan rusa.

_____Mereka melihat dua ekor rusa dahulu kerana Krisnan dan adiknya mahu melihat rusa yang terbesar di Singapura. Tiba-tiba, Puan Minachi terserempak kawannya di sebelahnya. Apabila Puan Minachi dan kawannya, Salmani, sedang berbual-bual, Krisnan ternampak dua ekor monyet di dalam sebuah sangkar. Kashi asyik melihat rusa-rusa yang mereka baru jumpa tadi.

_____Tiba-tiba, apabila Krisnan memasukkan tangannya ke dalam sangkar monyet itu, seekor monyet yang bergantung di sebatang pokok menarik tangan Krisnan. Seekor monyet lagi sedang memakan sebiji pisang. Puan Minachi tidak sedar yang monyet itu menarik tangan Krisnan. Krisnan menjadi mati akal.

_____Tiba-tiba, tangan Krisnan terasa sakit apabila dia mahu menarik tangannya keluar dari sangkar itu. Krisnan menangis kerana monyet seolah-olah mahu menggigit tangannya. Puan Minachi dan Salmani terkejut setelah melihat monyet itu menarik tangan Krisnan.

_____Puan Minachi dan Salmani segera berlari ke arah Krisnan. Krisnan menangis tanpa henti kerana tangannya masih sakit dan dia bertambah takut. Apabila Puan Minachi menarik tangan Krisnan, monyet itu masih tidak mahu melepaskan tangan Krisnan. Selepas itu, Salmani meminta pertolongan seorang penjaga taman haiwan. Penjaga taman haiwan itu datang ke arah mereka untuk menolong Krisnan.

_____Apabila penjaga itu menolong Krisnan, monyet itu menjadi semakin ganas lalu menggigit tangan Krisnan. Dia memanggil kawan-kawannya untuk menolong. Mereka cuba menyuruh monyet itu melepaskan Krisnan tetapi ia masih berdegil. Salah seorang penjaga-penjaga itu ada akal. Dia memberi setandan pisang kepada monyet itu. Akhirnya, monyet itu melepaskan tangan Krisnan. Setelah itu, mereka menghubungi ambulans.

_____Sebuah ambulans tiba dalam masa sepuluh minit. Ambulans itu membawa Krisnan dan keluarganya pergi ke hospital berdekatan. Doktor Ong yang memeriksa Krisnan mengatakan bahawa tangan Krisnan tidak cedera parah. Selepas diperiksa, Krisnan dibenarkan pulang ke rumah.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Nur Qistina Bte Mohd Noor
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 5-6

Markah:
Isi – 15
Bahasa – 13

Ulasan guru:
Susunan cerita baik namun penggunaan bahasa boleh dibaiki. Gunakan ayat-ayat mudah.

Wednesday, May 5, 2010

Karangan Darjah 4 - (7) Sikap Tidak Beri Perhatian 22.04.10 (Karangan Terbaik)

_____”Ring!” jam sekolah berbunyi menandakan waktu rehat bagi murid-murid darjah empat sudah pun tamat. Murid-murid darjah 4/1 menuju ke kelas mereka dengan senyap sekali. Seperti biasa, mereka mengeluarkan buku-buku Sains mereka lalu membaca buku-buku itu. Guru Sains mereka, Cikgu Roslinda, memasuki kelas itu selang beberapa minit kemudian. Dia pun mula mengajar murid-murid topik yang ingin diajarkan. Malangnya, Rafi tidak memberikan perhatian langsung. Malah, dia mengeluarkan buku komik yang telah dibawa olehnya lalu meletakkan buku komik itu di hadapan buku Sainsnya tanpa pengetahuan gurunya.

_____Kawan-kawan Rafi yang lain dengan tekun mendengar apa yang diajar oleh Cikgu Roslinda. Cikgu Roslinda merupakan guru yang terkenal dengan sifat lemah-lembutnya. Tiba-tiba, Cikgu Roslinda mengajukan satu soalan kepada Rafi. Malangnya, Rafi tidak menjawab soalan itu kerana dia amat khusyuk membaca komiknya. Semua kawannya menoleh ke arah Rafi.

_____Cikgu Roslinda berasa amat curiga lalu melangkah ke meja Rafi. Rafi berasa terkejut lalu belum sempat dia menyimpan buku komiknya ke dalam beg, Cikgu Roslinda telah merampas buku komiknya daripada tangannya. Wajah Cikgu Roslinda kelihatan merah padam menahan marah atas kelakuan Rafi.

_____Sebagai denda, dia disuruh untuk berdiri dan menyalin semua nota di dalam buku Sainsnya. Pada hari itu juga, Cikgu Roslinda telah memberitahu murid-murid darjah 4/1 bahawa pada keesokan hari, satu ujian akan diadakan. Cikgu Roslinda menambah bahawa sesiapa yang memperoleh markah yang tertinggi akan mendapat satu hadiah misteri. Pada malam itu, Rafi belajar dengan bersungguh-sungguh kerana dia ingin menerima hadiah misteri itu. Pada keesokan hari, Rafi dapat menjawab semua soalan dalam ujian Sains dengan mudah.


_____Dua hari kemudian, Cikgu Roslinda mendapati yang Rafi telah memperoleh markah yang tertinggi untuk kertas ujian yang telah diberikan olehnya. Dia amat kagum dengan kebolehan Rafi. Apabila Rafi telah diberitahu berita baik itu, dia berasa gembira dan besar hati. Pada hari itu juga, dia mendapat hadiah misterinya iaitu sebuah komik keluaran terkini. Rafi berterima kasih kepada Cikgu Roslinda kerana telah menyedarkannya tentang kesilapannya dan dia juga dapat membuktikan yang dia sebenarnya adalah murid yang pintar.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Nurul'ain Binte Nazrin
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-1

Markah:
Isi - 10
Bahasa - 8

Ulasan guru:

Isi menarik! Penggunaan kosa-kosa kata yang baik.

Monday, May 3, 2010

Karangan Darjah 4 - (2) Sampah Maut 18.02.10 (Karangan Terbaik)


_____Arina sedang membasuh pakaian-pakaian yang kotor dan busuk. Suami Arina sedang menonton rancangan televisyen di ruang tamu sambil memakan sambal tumis ikan dan kari ayam yang dimasak olehnya. Selepas Arina membasuh pakaian-pakaian, dia hendak menjemur pakaian-pakaian itu pula. Arina baru belajar cara menjemur pakaian. Arena menyepit pakaian-pakaiannya di beberapa batang galah supaya pakaian-pakaiannya tidak berterbangan jika ditiup angin.

_____Sewaktu Arina hendak meletakkan galah-galah itu ke dalam lubang-lubang galah di luar tingkap dapurnya, Arina terlanggar sebuah pasu bunganya lalu pasu bunga itu terjatuh. Arina tinggal di tingkat sepuluh rumah pangsa blok 874. Arina berasa terperanjat kerana pasu bunga yang terjatuh itu baru dibeli dengan harga lima puluh dolar.

______Tiba-tiba, seorang lelaki yang bernama Syafi sedang berjalan di luar kolong blok Arina. Pasu bunga yang diperbuat daripada tanah liat itu terhentak di kepalanya lalu pasu itu pecah. Syafi memegang kepalanya sambil berasa terperanjat. Darah mula mengalir dari kepalanya. Rupa-rupanya, dia telah cedera parah. Syafi terhuyung-hayang sehingga jatuh ke lantai lalu pengsan. Arina memberitahu suaminya tentang apa yang berlaku kepada Syafi.

_____Suami Arina cari jalan untuk menyelesaikan masalah itu. Dia menghubungi talian ambulans dan polis untuk mendapatkan bantuan kecemasan. Selepas lima minit, suah kereta ronda polis tiba bersama sebuah van ambulans. Pegawai-pegawai paramedik memberikan rawatan kecemasan kepada Syafi lalu mengangkatnya masuk ke dalam van ambulans. Syafi dibawa ke sebuah hospital yang berdekatan. Syafi diberikan rawatan lanjutan di hospital. Lima minggu kemudian, dia dibenarkan pulang dari hospital. Luka di kepala Syafi sudah sembuh tetapi meninggalkan kesan parut. Arina dan suaminya menziarahi Syafi di rumahnya sambil membawa buah tangan. Syafi tidak memarahi Arina tetapi menasihatinya agar tidak meletakkan pasu-pasu bunga di luar tingkap lagi.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Qhairul Dzikri Bin Amir
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-3

Markah:
Isi - 8
Bahasa - 7

Ulasan guru:
Awasi ejaan.

Tuesday, April 20, 2010

Karangan Darjah 4 - (5) Sikap Kurang Sopan 11.03.10 (Karangan Terbaik 1)


_____Pada hari Sabtu yang lalu, Hanis dan keluarganya telah pergi ke sebuah pusat membeli-belah kerana ibunya, Puan Sophia, hendak membelikan beberapa buah buku untuk Hanis dan adiknya, Ali. Setelah berjam-jam mencari buku-buku yang sesuai, Puan Sophia akhirnya berpuas hati dengan pilihan-pilihannya. Selepas membayar harga buku-buku itu, perut mereka berkeroncong. Jam tangan Hanis menunjukkan tepat pukul 1.30 petang. Maka, mereka sudah terasa lapar. Encik Imran, ayah Hanis, mencadangkan agar mereka pergi ke sebuah restoran makanan segera, McDonald’s, yang terletak tidak jauh dari situ.

_____Pada hari itu, terdapat ramai orang yang berada di restoran itu. Mujurlah Hanis ternampak sebuah meja yang kosong. Tanpa berlengah lagi, mereka pergi ke meja itu. Setelah memesan makanan-makanan yang didinginkan, Encik Imran membawa makanan-makanan itu ke mejanya. Semasa mereka sedang menjamu selera, mereka ternampak seorang lelaki tua yang berkaca mata berjalan ke sebuah tempat duduk yang kosong.

_____Tiba-tiba, dua orang pemuda muncul lalu berlari ke arah meja itu. Sebelum orang tua itu melabuhkan punggungnya di tempat duduk itu, dua pemuda tadi telah pun mendudukinya. Orang tua itu berasa kecewa terhadap kelakuan mereka. Apabila Encik Imran melihat kejadian itu, dia bergegas ke arah dua pemuda tadi lalu memberitahu mereka bahawa mereka sepatutnya memberikan tempat duduk itu kepada orang tua itu. Mereka hanya menundukkan kepala kerana mereka malu terhadap tingkah laku mereka. Setelah menyedari kesilapan, mereka meminta maaf daripada orang tua itu lalu memberikan tempat duduk mereka kepadanya. Namun, orang tua itu menolak pelawaan mereka. Lantas, Encik Imran menjemput lelaki tua itu yang bernama Pak Leman, duduk di meja keluarganya kerana mereka hampir selesai makan. Pak Leman tersenyum lalu mengangguk tanda setuju.

_____Sebelum Pak Leman bergerak ke meja Encik Imran, kedua-dua pemuda tadi meminta maaf sekali lagi. Encik Imran memperkenalkan Pak leman kepada keluarganya. Setelah selesai makan, Encik Imran dan keluarganya menghantar Pak Leman pulang ke rumahnya yang berdekatan dengan rumah mereka. Mereka juga mendapat tahu bahawa Pak Leman hidup sebatang kara. Sejak hari itu, Encik Imran selalu membawa buah tangan setiap kali dia mengunjungi rumah Pak Leman.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Nurul'ain Bte Nazrin
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-1

Markah:
Isi - 9
Bahasa - 7

Ulasan guru:
Susunan isi cerita amat menarik. Awasi tanda baca.

Karangan Darjah 4 - (5) Sikap Kurang Sopan 11.03.10 (Karangan Terbaik 2)


_____Jam menunjukkan waktu untuk makan malam. Encik Lim mengajak keluarganya untuk pergi ke sebuah restoran. Mereka pergi ke sana dengan menaiki sebuah kereta besar yang berwarna biru. Mereka sekeluarga berasa sungguh gembira kerana sudah lama mereka tidak pergi ke restoran itu.

_____Apabila Encik Lim sekeluarga sampai di destinasi, mereka masuk ke dalam restoran itu lalu mencari tempat duduk. Ru Ong, anak lelakinya, menunjukkan jarinya ke arah sebuah meja yang kosong. Mereka menuju ke meja itu lalu keluarga Encik Lim memberitahunya makanan apa yang perlu dipesan. Encik Lim beratur manakala Puan Lim dan anak-anak mereka duduk di meja sambil menunggu. Selepas menunggu selama lima minit, Encik Lim membawa makanan-makanan yang sedap ke mejanya.

_____Semasa makan, mereka memperhatikan seorang lelaki tua. Puan Lim berasa kasihan terhadap orang itu. Orang tua itu beratur untuk membeli makanan. Selepas beratur selama empat minit, dia mencari meja yang kosong. Dia pun ternampak sebuah meja lalu menuju ke situ. Ada sebuah dulang yang telah digunakan di atas meja itu.

_____Apabila orang tua itu hendak duduk, dua orang remaja berebut ke tempat itu. Ramai orang menoleh lalu berasa terkejut dengan sikap mereka. Mereka mula berbual tanpa menghiraukan orang tua itu. Encik Lim berdiri lalu pergi ke arah meja itu. Dia memberitahu orang tua itu bahawa dia akan memarahi remaja-remaja itu. Orang tua itu menahannya daripada berbuat begitu. Encik Lim mengatakan bahawa sikap mereka tidak sopan. Dia tetap memarahi remaja-remaja itu. Muka mereka pucat dan berasa malu setelah dimarahi Encik Lim. Encik Lim menyuruh mereka meminta maaf daripada semua orang di restoran itu termasuk orang tua itu.

_____Mereka pun berdiri lalu meminta maaf. Kesemua pelanggan memaafkan mereka. Remaja-remaja itu berjanji bahawa mereka tidak akan bersikap biadab lagi. Mereka memberi tempat duduk kepada orang tua itu lalu keluar dari restoran itu dengan perasaan malu. Ru Ong, Ri Ing dan Puan Lim besar hati terhadap tindakan Encik Lim. Orang tua itu mengucapkan terima kasih kepada mereka lalu memperkenalkan dirinya sebagai Encik Darwin. Setelah itu, Encik Lim sekeluarga pulang ke rumah.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Nurul Dinah Danisyah Bte Mazli
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-3

Markah:
Isi - 9
Bahasa - 7

Ulasan guru:
Bahagian akhir karangan terlalu ringkas. Isi cerita tersusun.

Tuesday, April 6, 2010

Karangan Darjah 6 - (6) Kemalangan Dalam Bilik Darjah 30.03.10 (Karangan Terbaik)

_____Pada hari Selasa yang lalu, Khairul sedang berjalan dengan pantas ke kelasnya. Dia hendak memberitahu gurunya bahawa beg duitnya telah hilang. Apabila dia tiba di kelasnya, dia memberitahu gurunya tentang beg duitnya yang hilang.

_____Tiba-tiba, kelas itu menjadi riuh dan bising kerana Khairul telah memenangi peraduan melukis. Gurunya berasa terkejut dengan keadaan kelasnya yang riuh dan bising. Kawan-kawan Khairul mengucapkan tahniah kepada Khairul. Khairul berterima kasih atas ucapan itu.

_____Kawan baik Khairul, Baqir, mencadangkan agar Khairul memanjat ke atas meja lalu melompat ke lantai. Semua kawannya bersetuju. Khairul memanjat ke atas meja lalu bersiap-sedia untuk melompat ke lantai.

_____Tiba-tiba, apabila Khairul hendak melompat, dia tergelincir lalu terjatuh. Kepalanya terlanggar lantai lalu dia tercedera. Kawan-kawannya berasa terkejut lalu mengelilinginya. Gurunya dan seorang murid telah membawa Khairul ke bilik rehat.

_____Di sana, gurunya mengelap darah yang mengalir dari dahi Khairul. Gurunya membalut kepalanya dengan kain pembalut untuk menghentikan darah daripada terus mengalir. Khairul berasa pening. Kawan-kawannya pula berasa amat risau.

_____Gurunya menghubungi ibu bapa Khairul untuk memberitahu mereka bahawa Khairul telah cedera parah dan harus dibawa ke hospital. Baqir berasa menyesal kerana telah menyuruh Khairul melompat dari meja ke lantai. Ibu bapa Khairul tiba di sekolah lalu membawanya ke hospital. Di sana, dia dirawat dan diberi ubat. Dia telah disuruh berehat selama seminggu. Baqir menelefon Khairul untuk meminta maaf. Baqir melawat Khairul di rumahnya.

(Karangan telah diperbaiki.)


Dikarang oleh:
Izzul Haziq Bin Murad
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 6-2

Markah:
Isi - 13
Bahasa - 13

Ulasan guru:
Beberapa isi cerita tidak berkesinambungan seperti -
1. Apakah yang gurunya lakukan tentang beg duit yang hilang?
2. Mengapakah gurunya membiarkan dia memanjat meja?

Karangan Darjah 5 - (6) Merosakkan Harta Awam 30.03.10 (Karangan Terbaik)

_____Cuaca pada hari Khamis lalu mendung. Farish pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku untuk menyelesaikan projeknya. Dia hendak mencari buku yang bergambar.

_____Farish ternampak sebuah buku yang sesuai untuk projeknya. Dia membuka halaman buku cerita itu. Farish membelek buku itu. Buku itu mengandungi banyak gambar tentang kupu-kupu.

_____Farish hendak meminjam buku itu tatapi dia malas untuk beratur. Farish menoleh ke kiri dan ke kanan untuk melihat jika ada orang yang melihatnya. Dia tidak nampak sesiapa pun. Dengan segera, Farish mengoyakkan buku itu.

_____Farish mengoyakkan halaman satu hingga halaman lima belas. Tiba-tiba, ada seorang wanita yang menahannya. Farish berasa terperanjat. Dia berasa takut. Wanita itu adalah pekerja di perpustakaan itu. Namanya Cik Mona. Farish disoal siasat. Farish tidak berkata apa-apa. Dia berdiam sahaja. Mukanya pucat seperti mayat.

_____Cik Mona menyuruh Farish mengikutinya ke pejabat ketua perpustakaan. Cik Mona memberitahu apa yang telah Farish buat di perpustakaan. Ketua perpustakaan menelefon ibu bapa Farish. Farish berasa amat malu.

_____Di rumah, bapa Farish memarahi Farish. Bapanya menyebat Farish dengan rotan. Farish menangis tersedu-sedu. Ibu Farish menasihati Farish. Sekarang, Farish mematuhi nasihat ibunya dan tidak akan mengoyakkan buku di perpustakaan awam lagi.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Lina Maisarah Binte Mohd Fu'ad
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 5-7

Markah:
Isi - 13
Bahasa - 13

Ulasan guru:
Susunan cerita yang teratur! Isi cerita boleh dikembangkan agar cerita menjadi lebih menarik.

Karangan Darjah 4 - (6) Perbuatan Baik 01.04.10 (Karangan Terbaik)

_____Cuti sekolah telah tiba. Aiman dan Rozamal sudah bercadang untuk melawat taman di depan blok mereka. Mereka sudah merancang untuk bertemu di Kelab Masyarakat Bedok yang terletak di sebelah taman itu pada pukul tiga petang. Selepas mereka bertemu, memasuki taman itu. Rozamal dan Aiman sangat ghairah untuk melihat bunga-bunga yang mempunyai pelbagai bentuk dan warna.

_____Apabila Aiman dan Rozamal sedang berseronok melihat bunga-bunga yang berwarna-warni itu, mereka ternampak seorang warga tua yang kelihatan khuatir. Dia sedang mencari sesuatu. Aiman dan Rozamal berasa hairan apabila mereka melihat aksi warga tua itu. Aiman dan Rozamal menghampiri warga tua itu lalu mereka menanya warga tua itu apakah dia sedang cari.


_____Warga tua itu memberitahu Aiman dan Rozamal bahawa dia sedang mencari beg duitnya yang berwarna putih cerah, berisi wang dua ratus dolar dan mengandungi kunci rumahnya. Dengan hati yang ikhlas, Aiman dan Rozamal mencari beg duit warga tua itu dengan bersungguh-sungguh.

_____Mujurlah beg duit warga tua itu ada di bawah sepohon bunga. Aiman menyerahkan beg duit itu semula kepada warga tua itu. Warga tua itu mengucapkan terima kasih kepada Aiman dan Rozamal lalu memberi wang lima dolar setiap seorang sebagai upah. Dia juga mengatakan bahawa Aiman dan Rozamal mempunyai hati emas. Selepas itu, mereka mula melihat bunga-bunga yang cantik lagi.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Nur Amirah Binte Kamarzaman
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-3

Markah:
Isi - 9
Bahasa - 9

Ulasan guru:
Susunan cerita yang teratur! Penggunaan bahasa amat baik. Prestasi awak amat konsisten.

Tuesday, March 9, 2010

Karangan Darjah 6 - Pesta Sukan 12.01.10 (Karangan Terbaik)

_____Cuaca pada hari Jumaat lalu sangat panas. Matahari bersinar dengan terik. Pada minggu lalu, Sekolah Rendah Qihua menganjurkan Pesta Sukan yang diadakan di Stadium Woodlands. Guru-guru Pasukan Hijau, Merah, Kuning dan Biru telah memilih pelajar-pelajar untuk mewakili pasukan masing-masing.

_____Kesemua guru dan pelajar telah pergi ke stadium pada waktu pagi. Keluarga para pelajar pun telah pergi ke stadium itu untuk menyokong anak-anak mereka yang bertanding. Stadium itu dipenuhi ramai orang. Ramai penyokong yang terpekik-terlolong. Pasukan-pasukan telah berhimpun di balapan untuk acara berarak lalu depan tetamu kehormat dan para penonton.

_____Selepas mereka berarak lalu di balapan, tetamu kehormat pun duduk di kerusi yang disediakan. Guru Besar memberi ucapan kepada semua orang yang hadir di stadium itu. Kemudian, acara-acara sukan pun bermula. Peserta-peserta kenampakan berani mati demi memenangi piala.

_____Acara lompat jauh bermula dahulu. Peserta-peserta bersungguh-sungguh melompat dengan jauh. Mereka ingin memecahkan rekod lama iaitu sejauh tiga meter. Ramai penonton melaung-laung memberi sokongan kepada mereka.

_____Setelah itu, acara larian ganti 100 meter pula bermula. Para peserta kenampakan tenang dan bersedia. Setelah bunyi tembakan, para peserta memecut ke arah garisan penamat. Suasana di stadium menjadi riuh-rendah. Sokongan itu menaikkan semangat peserta-peserta untuk menjadi juara.

_____Pada pukul 12 tengah hari, kesemua acara sukan selesai. Pingat-pingat telah diberikan kepada peserta-peserta yang berjaya memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga. Saat-saat yang dinanti-nantikan pun tiba. Tetamu kehormat
mengumumkan bahawa pasukan yang menjuarai Pesta Sukan tahun ini ialah Pasukan Hijau!

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Nurul Farahizwani
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 6-6

Markah:
Isi - 13
Bahasa - 12

Ulasan guru:
x

Saturday, February 20, 2010

Karangan Darjah 4 - Aksi Rompakan 14.01.10 (Karangan Terbaik 1)



___Ding! Dong! Loceng rumah Ani berbunyi. Dia segera membuka pintu rumahnya. Ani ternampak seorang pemuda yang menjual majalah. Ani menyuruh pemuda itu memasuki rumahnya. Ani pergi ke dapur untuk membuatkan segelas air minuman untuk pemuda itu.

___Tanpa disedari, pemuda itu memasuki bilik Ani. Dia ternampak beg yang berharga. Dia menyelongkar emua beg yang ada di bilik itu. Bilik Ani berselerak dengan pakaian dan beg. Pemuda itu mengambil barang-barang berharga itu.

___Rupa-rupanya, pemuda itu seorang yang talam dua muka. Pemuda itu mengikat tangan dan mulut Ani dengan sehelai kain. Dia segera meninggalkan rumah Ani. Jirannya telah melihat apa yang telah berlaku melalui tingkap Ani. Dengan sepantas kilat, dia menelefon polis.

___Dengan sekelip mata, polis sampai di rumah Ani. Polis bertanya kepada jirannya apa yang telah berlaku. Polis memecahkan pintu rumah Ani. Jirannya membuka kain di mulut dan tangan Ani. Dia menceritakan kepada jirannya dan polis tentang apa yang berlaku. Dia akan bersikap lebih berhati-hati dan tidak harus mempercayai pemuda atau pemudi yang menjual barang. Selepas beberapa hari, polis dapat menangkap pemuda yang jahat itu.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Auni Zafirah Bte Taufek
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-3

Markah:
Isi - 9
Bahasa - 9

Ulasan guru:
Susunan cerita yang teratur! Penggunaan bahasa amat baik.