Wednesday, May 5, 2010

Karangan Darjah 4 - (7) Sikap Tidak Beri Perhatian 22.04.10 (Karangan Terbaik)

_____”Ring!” jam sekolah berbunyi menandakan waktu rehat bagi murid-murid darjah empat sudah pun tamat. Murid-murid darjah 4/1 menuju ke kelas mereka dengan senyap sekali. Seperti biasa, mereka mengeluarkan buku-buku Sains mereka lalu membaca buku-buku itu. Guru Sains mereka, Cikgu Roslinda, memasuki kelas itu selang beberapa minit kemudian. Dia pun mula mengajar murid-murid topik yang ingin diajarkan. Malangnya, Rafi tidak memberikan perhatian langsung. Malah, dia mengeluarkan buku komik yang telah dibawa olehnya lalu meletakkan buku komik itu di hadapan buku Sainsnya tanpa pengetahuan gurunya.

_____Kawan-kawan Rafi yang lain dengan tekun mendengar apa yang diajar oleh Cikgu Roslinda. Cikgu Roslinda merupakan guru yang terkenal dengan sifat lemah-lembutnya. Tiba-tiba, Cikgu Roslinda mengajukan satu soalan kepada Rafi. Malangnya, Rafi tidak menjawab soalan itu kerana dia amat khusyuk membaca komiknya. Semua kawannya menoleh ke arah Rafi.

_____Cikgu Roslinda berasa amat curiga lalu melangkah ke meja Rafi. Rafi berasa terkejut lalu belum sempat dia menyimpan buku komiknya ke dalam beg, Cikgu Roslinda telah merampas buku komiknya daripada tangannya. Wajah Cikgu Roslinda kelihatan merah padam menahan marah atas kelakuan Rafi.

_____Sebagai denda, dia disuruh untuk berdiri dan menyalin semua nota di dalam buku Sainsnya. Pada hari itu juga, Cikgu Roslinda telah memberitahu murid-murid darjah 4/1 bahawa pada keesokan hari, satu ujian akan diadakan. Cikgu Roslinda menambah bahawa sesiapa yang memperoleh markah yang tertinggi akan mendapat satu hadiah misteri. Pada malam itu, Rafi belajar dengan bersungguh-sungguh kerana dia ingin menerima hadiah misteri itu. Pada keesokan hari, Rafi dapat menjawab semua soalan dalam ujian Sains dengan mudah.


_____Dua hari kemudian, Cikgu Roslinda mendapati yang Rafi telah memperoleh markah yang tertinggi untuk kertas ujian yang telah diberikan olehnya. Dia amat kagum dengan kebolehan Rafi. Apabila Rafi telah diberitahu berita baik itu, dia berasa gembira dan besar hati. Pada hari itu juga, dia mendapat hadiah misterinya iaitu sebuah komik keluaran terkini. Rafi berterima kasih kepada Cikgu Roslinda kerana telah menyedarkannya tentang kesilapannya dan dia juga dapat membuktikan yang dia sebenarnya adalah murid yang pintar.

(Karangan telah diperbaiki.)

Dikarang oleh:
Nurul'ain Binte Nazrin
Sekolah Rendah Qihua
Darjah 4-1

Markah:
Isi - 10
Bahasa - 8

Ulasan guru:

Isi menarik! Penggunaan kosa-kosa kata yang baik.

No comments:

Post a Comment