PELAKON CILIK: Tiga kanak-kanak yang menjayakan drama Melayu 'Long Qiam Pass', (dari kiri) Mrittika Rajanthran, Justin Ling Yiwei dan Muhammad Mikail Soffian. Drama itu berkenaan tiga murid sekolah berbeza bangsa yang menghadapi masalah sama mengenai kawan, keluarga dan sekolah. - Foto THE MOVING VISUALS CO
NURMAYA ALIAS
Aug 11, 2017 | 05:30 AM
MENGHAFAL dialog drama dalam Melayu satu cabaran buat pelakon cilik Mrittika Rajanthran, 10 tahun, dan Justin Ling Yiwei, sembilan tahun, memandangkan bahasa Melayu bukan bahasa ibunda mereka.
Namun, mereka menyahut cabaran drama Long Qiam Pass itu - yang memaparkan watak tiga pelajar kanak-kanak berbilang bangsa - dengan penuh kesungguhan.
Dalam drama tersebut, Mrittika membawa watak Maya, seorang pelajar India bijak yang selalu mahukan kecemerlangan dalam apa jua yang dilakukannya, dalam pelajaran mahupun kegiatan luar.
Justin pula melakonkan watak Dash, yang berasal daripada keluarga Cina miskin.
Seorang lagi pelakon cilik, Muhammad Mikail Soffian, sembilan tahun, tampil sebagai Jaffri, anak tunggal dalam keluarga Melayu yang ibu bapanya selalu sibuk dengan pekerjaan.
Drama lapan episod itu memaparkan kisah tiga rakan baik ini, yang menuju ke kedai runcit milik Mama Long, seorang yang bijak dan berpengalaman, setiap kali mereka menghadapi masalah berkenaan kawan, keluarga atau sekolah.
Menggunakan kisah-kisah dari tahun 1950-an sebagai pengajaran, Mama Long berusaha mendengar dan mengatasi masalah Jaffri, Dash dan Maya.
Menariknya ialah penonton akan melihat menerusi cerita Mama Long bahawa masalah yang dihadapi kanak-kanak itu serupa masalah yang dihadapi kanak-kanak pada 1950-an.
Watak Mama Long dilakonkan oleh Tan Kar Sim, yang lebih dikenali sebagai Uncle Sim, yang pernah muncul dalam beberapa iklan Visa payWave.
Long Qiam Pass drama bahasa Melayu pertama terbitan syarikat penerbitan The Moving Visuals Co.
Penerbit drama itu, Muhammad Mahfuz, berkata: "Kami mahukan drama yang relevan untuk kanak-kanak masa kini dan mampu membuat mereka tergelak dan berfikir.
"Namun, pada masa sama, kami juga ingin membuka mata mereka pada cara kehidupan kanak-kanak pada 1950-an dan mengajar mereka tentang apa yang menarik pada waktu itu seperti permainan pada era itu dan juga tokoh terkenal seperti P. Ramlee."
Berkongsi pengalaman menghafal dialog bahasa Melayu drama Long Qiam Pass, Mrittika dan Justin berkata ibu bapa mereka banyak membantu.
Mrittika, yang biasanya menghafal dialog di set penggambaran, berkata: "Bapa saya akan memberitahu saya maksud dialog itu supaya lebih mudah bagi saya memahami dan menghafalnya."
Katanya lagi, pada awalnya dia gementar berada di depan kamera kerana ia kali pertama dia berlakon dalam drama.
"Tetapi, lama-kelamaan, ia menyeronokkan. Mikail dan Justin juga selalu beri saya galakan untuk menghafal dialog dalam bahasa Melayu," kata Mrittika, murid Sekolah Rendah Coral.
Anak bongsu tiga beradik itu juga antara pelajar di sekolahnya yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga sejak dua bulan lalu.
Bagi Justin pula, dia menghafal dialog drama itu di rumah dengan bantuan ibunya.
"Menerusi drama ini, saya belajar bercakap dalam bahasa Melayu. Saya dapati agak susah menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Melayu kerana bunyinya berbeza walaupun ejaan perkataannya sama seperti bahasa Inggeris," kata anak sulung dua beradik itu yang menuntut di Sekolah Rendah Lianhua.
"Pada akhir episod, penonton akan tahu siapa Mama Long sebenarnya," tambahnya.
Mikail, murid Sekolah Rendah Chua Chu Kang, pula berkata bahawa dia suka drama itu yang memaparkan kanak-kanak berbilang bangsa.
Dialog yang paling disukainya ialah 'macam mak nenek' yang sering kali ditujukan kepada watak Maya dalam drama itu.
"Tapi, saya dapati agak mencabar jika kawan-kawan saya tak ingat dialog dan kami perlu berlakon semula," kata anak bongsu dua beradik ini.
Sebelum ini, Mikail pernah berlakon dalam telemovie Nur Ainun, beberapa iklan dan filem pendek animasi buat projek tahun akhir mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Justeru, apakah yang boleh dipelajari penonton kanak-kanak menerusi drama ini?
"Kita mesti bekerja keras jika mahukan sesuatu," ujar Mikail.
Drama 'Long Qiam Pass' ditayangkan setiap Jumaat pada 8.30 malam di saluran Suria.
https://www.beritaharian.sg/gah/tiga-murid-berbilang-kaum-lakon-drama-melayu
meWATCH: https://www.mewatch.sg/watch/Long-Qiam-Pass-E1-Magic-155394