SEMANGAT GOTONG-ROYONG: Encik Mohamed Hizammuddin Mohamed Yusof yakin cabaran pembalajaran dan pengajaran bahasa Melayu dapat diatasi bersama dengan kerjasama semua pihak termasuk kakitangan sekolah dan ibu bapa. - Foto BM oleh JEREMY KWAN
BELIAU menggelarkan Sekolah Rendah Punggol View, tempat beliau mengajar, sebagai Kampong Punggol View dan muridnya, sebagai penduduk kampung itu.
Dengan semangat kampung dalam sekolah itu pula, Encik Mohamed Hizammuddin Mohamed Yusof berharap semua cabaran pembelajaran dan pengajaran boleh diatasi bersama.
Antara cabaran itu termasuk murid yang kurang menggunakan bahasa Melayu di rumah serta murid yang kurang faham bahasa itu dalam bilik darjah.
Menggelarkan bilik darjah sebagai balairung, guru bahasa Melayu itu berkata:
"Dalam 'balairung' masing-masing, kami menggalakkan rakyat menyanyi, berlakon, membuat persembahan dan macam-macam lagi untuk meningkatkan minat 'rakyat' dengan pembelajaran Bahasa Melayu.
"Selain itu, sokongan waris di rumah amat penting. Di Kampung Punggol View, kami menggalakkan waris supaya menyertai bengkel bahasa Melayu atau menyingsing lengan mengikuti program bahasa Melayu kami agar mereka boleh terlibat sama dalam pembelajaran bahasa Melayu anak-anak.
"Acap kali, 'rakyat' bertambah ghairah apabila waris mereka hadir untuk sama-sama belajar bahasa Melayu," kata Encik Mohamed Hizammuddin.
Antara usaha yang dijalankan untuk menarik minat murid dengan bahasa dan budaya Melayu termasuk mengadakan pelbagai kegiatan seperti merasa kuih-muih, membuat dan memakai destar serta bermain permainan tradisional Melayu sempena sambutan Dwimingguan Bahasa Ibunda (DBI).
Hasilnya, program ini bukan sahaja berjaya menarik minat murid Melayu tetapi juga murid berlainan kaum yang turut tampil menyertai kegiatan itu.
"Kami berfikir bahawa pembelajaran budaya Melayu perlu inklusif dan bukan setakat terkurung dalam empat tembok di bilik darjah.
"Berkat usaha menyemai benih semangat ingin tahu, murid bertambah ghairah untuk mempelajari bahasa Melayu," ujar Encik Mohamed Hizammuddin.
Menurut guru berusia 40 tahun itu, beliau juga berasa bertuah dapat mengajar bahasa Melayu kerana pembelajaran bahasa ini merangkumi sastera dan budaya.
Tambahnya, beliau juga cekal menjalankan tanggungjawab sebagai guru itu disebabkan semangat muridnya yang memiliki sifat ingin tahu serta sentiasa mendahagakan ilmu.
"Merekalah membentuk diri saya sebagai pendidik.
"Peluang untuk menatap wajah yang sering tersenyum dan peluang untuk membentuk pemikiran mereka sentiasa membuat saya teruja dalam melaksanakan tanggungjawab ini," ujar Encik Mohamed Hizammuddin yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Pendidikan dalam Kurikulum dan Pengajaran di Institut Pendidikan Nasional (NIE)/Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Usaha beliau terus menimba ilmu dapat mengembangkan pandangan dan pengalamannya dalam landskap pendidikan.
Malah baginya, beliau terus menambah pengalaman baru dan dapat belajar daripada muridnya semasa mengajar mereka.
"Ini kerana seseorang yang tinggi adab haruslah murni budi pekertinya, bukan untuk dijunjung oleh masyarakat tetapi untuk membina masyarakat yang menyeluruh.
"Seseorang yang berilmu haruslah rendah hati bak pepatah, bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk. Seseorang yang berilmu juga haruslah berkongsi pengetahuannya dan belajar sepanjang hayat," katanya.